BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

PERUTUSAN 2.0.1.1

Friday, December 31, 2010


Melangkah lagi ke tahun baru masihi. Pada kebanyakkan orang episode duka kembali menambah cartanya tak kurang juga sebahagian yang lain meratap pergi kenangan 2.0.1.0. Apa jua cara kita menyambut 2011 ini, 2011 tetap akan datang sesuai dengan tahun-tahun yang berikutnya. Jika tahun Hijrah, tahun yang mendatang dimulakan dengan doa pembuka tahun yang memohon keberkatan dan keampunan tak kurangnya juga demngan tahun baru masihi. Pelbagai azam dipasang bagi memastikan perjalanan 2011 ini tidak tersasar dengan perancangan asal. Berbalik kepada tahun 2010, sebanyak mana azam yang dipasang dapat kita realisasikan? Gembiralah apabila setiap yang dirancang dapat direalisasikan dan merataplah kedukaan apabila pelbagai perancangan seawal tahun 2010 tidak menjadi kenyataan. Pokok pangkalnya terletak pada pundak diri kita Berjaya ataupun tidak.

Bagaimana ingin memastikan segala apa yang dirancang dapat direalisasikan. Bagi saya, apabila kita ingin merancang sesuatu pastikan ianya berada pada batas kemampuan diri kita. Tak guna merancang sesuatu yang hebat tetapi berada di luar batasan kemampuan kita. Biar sekecil mana tetapi jika berjaya kepuasannya terletak pada diri kita. Azam yang dibuat haruslah azam yang mempunyai wawasan kejayaan. Pastikan azam kita merupakan azam yang dapat membuatkan kita sentiasa berazam sepanjang tahun 2011 pastikan ianya istiqamah kerana orang yang berjaya itu sentiasa istiqamah dalam setiap perkara. Apabila tahun baru menjelma janganlah kita sentiasa bersikap realistik. Hidup ini sementara sahaja. Akhlak juga hrus di’azam’kan baru sempurna diri kita. Jika tahun sebelumya kita sentiasa bercakap buruk akan peribadi orang lain apa kata tahun ini kita berubah untuk menjadikan diri kita tergolong dalam hadis nabi yang hari ini lebih baik daripada hari semalam.

Tahun baru juga kita mesti merancang semua kewangan kita supaya hidup kita pada hari berikutnya lebih produktif. Jika kita hidup berseorangan mungkin kita tidak kisah akan perbelanjaan kita tetapi apabila kita hidup berkeluarga perancangan kewangan yang baik dapat memastikan kita menjalani hari pada 2011 dengan tenang. Perancangan kewangan yang baik dapat memastikan kita sentiasa selamat jika timbuk masalah seperti hutang, kematian dan sebagainya. Kewangan yang baik juga dapat menstabilkan institusi kekeluargaan lebih stabil kerana jika tidak institusi kekeluargaan mudah goyah dan runtuh.

Saya? Pada tahun ini, saya berazam ingin berbakti kepada keluarga terutamanya ibu saya dengan lebih baik. Saya ingin memastikan setiap keputusan peperiksaan saya cemerlang sesuai dengan hasil usaha saya yang terbilang. Saya juga ingin memastikan diri ini lebih banyak terlibat dengan aktiviti universiti, fakulti dan kolej. Saya juga ingin memperbaiki akhlak saya ke tahap yang lebih membanggakan dan saya ingin memastikan juga diri ini ada masa untuk sentiasa bermuhasabah dengan setiap satu perkara yang saya usahakan. Saya mendoakan yang terbaik untuk kalian pada tahun 2011 dan semoga menjalani tahun 2011 dengan ceria.

AFF SUZUKI CUP 2010 : Minoriti Menggambarkan Keseluruhan Indonesia

Thursday, December 30, 2010


Apabila terlintas di minda akan tajuk ini, saya langsung tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam bidang bola sepak dan acara ini khususnya tetapi sebagai peminat terhadap pasukan negaranya yang menjuarai AFF SUZUKI CUP 2010 ini saya turut mempunyai pandangan saya yang tersendiri. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitu mudah untuk menggambarkan peribahasa ini. Tuah Malaysia yang kalah kepada Indonesia pada peringkat kumpulan dengan 5-1 tiada siapa yang tahu sehinggalah pada tanggal 29hb12 2010 menyaksikan Malaysia buat julung kali nya membawa pulang Piala AFF SUZUKI sepanjang 14 tahun temasya itu berlangsung.

Hebat cukup hebat skuad bimbingan Rajagobal ini, bermula daripada bawah sehingga kini menjulang jolokan ‘Raja Bola Sepak Asia Tenggara’. Adat manusia bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, hal yang sama turut dialami oleh pasukan Harimau Malaya. Kemenangan di Stadium Negara Bukit Jalil dengan 3-0 begitu memberi tamparan yang cukup hebat kepada penyokong fanatik Indonesia. Pelbagai isu turut dicetuskan seperti isu laser yang menghalang dan membataskan penglihatan penjaga gol mereka. Seperti yang sudah dijelaskan laser yang hanya berkesan pada jarak jauh hanyalah laser perubatan. 




Malaysia yang cukup positif dengan apa yang berlaku memaksa kita di pihak Malaysia menguar-uarkan bahawa bukan kita yang memulakan isu laser ini. Masalah ini sudah pun kita alami ketika bertandang di Stadium Bung Karno (saya tidak pasti akan nama stadium itu yang sebenar). Kepada yang berminat boleh merujuk video insiden laser berkenaan di youtube. Kekalahan kita 5-1 bukan menjatuhkan semangat untuk beraksi pada perlawanan seterusnya tetapi merupakan titik tolak dalam melakarkan kemenangan yang berikutnya. Bahkan kita, Malaysia tidak punya masa membuat ‘post mortem’ yang mengarut itu. Kalah biarkan kalah, hadapi game yang seterusnya. Saya rasa itu mungkin prinsip kita jika kita yang kalah.


Tidak berakhir dengan masalah laser yang dikaitkan dengan kekalahan tempoh hari, pihak media Indonesia seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan tersebut dengan mengeluarkan fitnah-fitnah dan tuduhan yang tidak berasas kepada skuad Malaysia seperti penggunaan pemain import, isu bomoh (kononnya pemain mereka mengalami gatal-gatal ketika berlawan di Malaysia) dan sebagainya. Masalah yang tidak berkesudahan yang ditimbulkan oleh pihak media di sana seperti mempunyai agenda tertentu dan mungkin ingin membangkitkan lagi api dalam kalangan rakyat mereka yang sebetulnya memang anti-Malaysia. Pihak media di Malaysia hanya mampu membalas tohmahan tersebut dengan ‘Sudah-sudahlah…’. 



 Itu adalah apa yang telah dikhabarkan oleh akhbar-akhbar dan ditambah lagi dengan media zaman moden seperti Facebook dan twitter. Pada malam kekalahan di Malaysia, trending topic (TT) di twitter adalah HateMalaysia dan MalaysiaCheatLaser. Maklumlah segala apa yang tersiar di media moden langsung tidak ditapis maka pelbagai ayat mencarut dan lucah turut ditulis menggambarkan ketidakpuasan hati mereka. Tidak cukup dengan komen-komen yang negatif rakyat Malaysia turut dihina menerusi gambar-gambar yang menghina pasukan Malaysia.

Alhamdulillah, segala apa yang berlaku di internet dan media-media lain langsung tidak mematahkan semangat juang pemain kebangsaan. Emosi penyokong fanatik Indonesia tidak terbendung lagi dengan perhimpunan terkawal yang berada di luar penginapan pemain kebangsaan yang mengecam pemain kebangsaan dengan alasan-alasan karut yang telah saya nyatakan pada permulaan tadi sehinggakan lokasi latihan pemain terpaksa ditukar-tukar demi menjaga keselamatan para pemain. Hal ini telah mengundang rasa sedih pihak Rajagobal dengan hospitality yang diberikan mereka berbanding ketika mereka berada di Malaysia. Rajagobal turut memaklumkan mereka tidak dapat membuat latihan dengan baik dan bersungguh-sungguh dek kejadian itu. Mereka hanya boleh dikatakan ‘memanaskan badan’ sahaja.


Situasi rakyat Malaysia yang kelihatan tenang menghadapi karenah peminat Indonesia menunjukkan betapa kita merupakan rakyat yang bersikap positif. Dunia dapat mengukur betapa peminat sukan di Malaysia merupakan peminat yang menggunakan otak tanpa dikawal oleh orang lain. Syabas skuad Malaysia di bawah bimbingan Rajagobal kerana menamatkan kemarau 14 tahun menjulang piala AFF SUZUKI 2010.


Apa yang dapat saya simpulkan betapa rakyat seberang dikawal sepenuhnya minda mereka oleh media-media yang menyemai perasaan benci akan Malaysia bukan menggunakan masalah laser itu sahaja. Bagi saya, saya mengerti bukan semua rakyat Indonesia berfikir sedemikian tetapi ingatlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sebenarnya, banyak pertelingkahan kita yang mewujudkan dendam dalam kalangan rakyat Indonesia (saya tidak selidiki tetapi cuma tahu sahaja) dan pertembungan MALAYSIA-INDONESIA mungkin diambil kesempatan bagi menghangatkan lagi hubungan dua negara oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Malaysia terus positif dalam memajukan sukan negara dan tidak sesekali akan mengeluarkan idea yang tidak munasabah akan kekalahan sendiri. Malaysia BOLEH!!! Syabas pasukan Malaysia, tahniah3x Harimau Malaya Tanah Tumpahnya Darahku…

Saya, Isi dikembang dari Tajuk!

Wednesday, December 29, 2010


Berfikir akan sesuatu merupakan frasa yang begitu bebas kedengaran. Ia memang bebas kerana kita berfikir hanya kita sahaja. Tiada yang boleh membantah atau menyoal kerana ia masih berbentuk fikiran melainkan jika fikiran itu sudah kita suarakan. Tajuk post saya pada kali ini merupakan satu fikiran yang telah saya tuliskan. Seringkali saya berfikir akan setiap satu perkataan yang saya dengari dan fahami. Kekadang sama seperti insane biasa, saya kerap terlupa kerana kita harus faham bahawa akal seperti suatu tempat yang begitu luas andai kita tumpukan pada sesuatu, sesuatu yang pernah kita tumpu terlebih dahulu mudah hilang jika tiada tanda yang menandakannya.

Maka menginjaknya umur kepada 19 tahun membuatkan saya berfikir bagaimana untuk memastikan apa yang pernah terfikir tidak hilang begitu sahaja. Tiba-tiba saya teringat akan pengucapan oleh seseorang iaitu melihat lebih baik daripada mendengar. Lalu, setiap apa yang terlintas di benak fikiran ini akan saya tuliskan di atas kertas. Akal setiap insan berfungsi dengan berbeza mengikut kepada bagaimana kita mendengar, melihat dan menyelesaikan sesuatu perkara itu. Saya tidak tahu akan orang lain, tetapi saya arif akan diri saya.

Hobi yang suka membaca dan menulis ini membuatkan saya tahu apa yang hendak saya lakukan ketika hendak menulis sesuatu tak kisahlah cerpen, rencana dan sebagainya. Untuk memastikan saya dapat menulis dengan baik saya mengfungsikan akal saya untuk memikirkan idea tajuk terlebih dahulu kerana saya, isi dikembang daripada tajuk. Amatlah sukar bagi saya untuk menulis jika saya tidak mendapatkan tajuk terlebih dahulu. Mungkin pelik bagi anda tetapi normal bagi saya. Begitulah apa yang ingin saya kongsikan perihal saya kepada anda. Signifikannya, kita berfungi sesuai dengan tugas kita kepada Allah sebagai khalifah dan hamba-Nya.

Bersyukur kita kepada-Nya kerana setiap apa yang berlaku mengikut turutan. Tiada apa yang berlaku didunia ini melainkan ada turutannya yang sendiri. Susanan ini yang patut kita ikut jika tidak keputusannya seperti hari ini. Bencana alam seperti tornado, banjir, tanah runtuh, tsuami dan sebagainya. Andai kita sentiasa resah dengan kehidupan kita, perhati semula mana salah silapnya kerana bagi saya salah itu berlaku apabila hidup kita tiada perancangan sedangkan Allah ada perancangan bagis setiap satu hambanya inikan kita pada diri kita sendiri.

Lain Orang Lain Caranya


Dalam kehidupan seharian kita ni tak semestinya apa yang selalu kita lakukan tidak akan sentiasa sempurna. Ingat lagi kata-kata Yasmin Ahmad, sempurna itu milik tuhan. Kita hanya mampu untuk memberikan yang terbaik sahaja. Apa khabar kepada rakan-rakan yang sudi membaca post-post saya pada masa ini? Harap anda sihat semuanya. Mungkin ramai yang terpukul dengan tajuk post saya pada kali ini bukan? Berasa seperti terkena pada batang hidung sendiri kerana mungkin suatu ketika dahulu kita sentiasa memaksa orang mengikut cara kita tetapi jelas dan kita agaknya faham ‘Lain Orang Lain Caranya’. Ini yang cuba saya bincangkan bersama-sama anda pada keluaran kali ini.

Cara kita bekerja dengan insane-insan yang lain sememangnya tidak sama. Ia berbalik bagaimana kita mendekati (approach) setiap masalah yang datang, apa perspektif kita apabila menghadapi sesuatu perkara, dan bagaimana bentuk penyelesaian yang akan kita aplikasikan kepada setiap permasalahan itu. Ya, manusia dikurniakan akal yang membolehkan kita menentukan mana yang baik dan mana yang buruk dan oleh kerana faktor-faktor di atas jugalah sebab itu di dunia ada yang baik dan ada yang jahat. Konsep ini begitu jelas apabila kita cuba memberikan nasihat kepada orang lain. Cuba anda memberi teguran kepada orang lain dengan cara yang kasar berbanding memberi teguran dengan penuh berhikmah. Tentu sekali cara yang berhikmah lebih disukai. Sungguh manusia itu mencintai keindahan.

Apabila kita berhadapan dengan sekalian insan, kita harus mendekati mereka dengan cara yang berbeza-beza kerana setiap satu orang yang kita berurusan banyak karenahnya ada yang peramah, pendiam, pemalu, perengus dan sebagainya. Jika ingin melakukan sesuatu tak salah menyelidik terlebih dahulu. Pada zaman Rasulullah SAW pun, setiap perkara dilakukan dengan mempunyai perancangan seteliti yang boleh.

Sesungguhnya betullah asas penciptaan manusia itu sama tetapi yang membezakan mana yang baik dan mana yang buruk terletak kepada bagaimana dia mengfungsikan akal mereka. Gunalah akal serasional yang boleh tetapi andai mengelak setiap satu bukti yang memihak kepada-Nya nescaya kita tergolong dalam kalangan golongan yang rugi. Percaya dan berimanlah kepada Allah dengan penuh keimanan. Insan yang akalnya terdidik dengan akal Al-Quran tidak menunggu bukti baru percaya kerana percaya nya dia akan sesuatu adalah kerana kepercayaan yang sebetulnya mereka percaya tiada dakwa dakwi lagi. Ya, ‘Lain Orang Lain Caranya’ andai kepercayaan dan kebenaran itu hanya pada satu jalan sudah pasti tiada dua tiada tiga. Moga-moga kita sentiasa tergolong dalam kalangan insan yang mendapat naungan rahmat-Nya. Wallahualam!


Bila ada yang suka kita waktu susah berbanding waktu senang kita…

Sunday, December 12, 2010


Salam kepada semua pembaca blog sekalian. Bersua lagi kita dalam siri penulisan yang mengajak kita kembali berfikir asas hidup kita ini. Ini hanya sekadar lontaran pendapat seorang manusia, masih boleh dipersetujui tak kurang juga diberi pendapat akan pembaikan yang boleh dilakukan. Ramai yang mengeluh tatkala waktu susah datang bertandang. Waktu susah yang saya maksudkan di sini adalah waktu yang melibatkan kita berasa kesempitan ketika berada dalam tempoh waktunya seperti kesedihan dan sebagainya. Saya percaya semua sudah dan akan mengalami perkara ini.

Kita mungkin tidak terpandang akan sejuta rahmat yang ditaburkan oleh Pencipta terhadap setiap satu perkara yang ditimpakan ke atas pundak kita khususnya waktu susah. Adakah kita tidak menemukan hikmah kesulitan waktu yang kita alami itu atau kita berusaha mencari seribu alasan untuk tidak kita selidiki hikmah itu? Jawapan itu sudah berada pada diri anda semua. Seperti yang telah banyak saya perkatakan sebelum ini, Allah hanya menguji sesuatu yang termampu untuk kita jalaninya. Jangan bertindak seperti orang yang tidak diberikan akal apabila bertindak memaki dan mencemuh Tuhan di atas kesusahan yang kita alami itu.

Perspektif yang ingin saya kongsikan bersama pembaca blog sekalian dalam konteks ini  adalah bagaimana waktu susah itu sebenarnya dapat menjadikan kita insan yang lebih baik berbanding sebelum kita ditimpakan musibah. Sebagai contoh, orang kaya ditimpa kesusahan. Beliau dengan sekelip mata dapat memikirkan bahawa kekayaan beliau selama ini bukan sekadar terletak pada usaha yang dijanakan tetapi masih berada pada takluk kuasa Yang Maha Esa. Orang kaya ini yang dahulunya takbur kepada Allah oleh kerana sikapnya di atas dapat bertaubat dengan cara pemikiran sekalian. Bukan sekadar worldview nya yang berubah tetapi turut berubah sekali adalah sikapnya yang berhijrah daripada seorang yang sombong dan tidak menghiraukan orang sekelilingnya berubah kepada orang yang menyayangi insan lain dan mengetahui bahawa manusia ini sama tarafnya yang membezakan setiap individu ialah tingkat iman mereka.

Contoh yang mudah dalam kalangan kita pelajar universiti adalah musibah yang ditimpakan terhadap seorang cerdik yang sombong. Jika sebelum dia menerima waktu susah, dia sukar bergaul dengan orang yang memerlukan bantuannya iaitu orang yang agak lambat menerima pemahaman ilmu ketika menerima pembelajaran langsung di kuliah tetapi tidak lagi apabila ujian mengujinya. Biasalah manusia sudah terngantuk baru terngadah. Bila sudah diuji dengan rintangan seperti tidak memperoleh kejayaan seperti sebelumnya baru kita mahu memikir bahawa ilmu itu makin dikongsi makin bertambah. Lumrah manusia sebenarnya bila susah mahu ingat Dia. Biarlah bagaimana metode penyelesaian sekalipun, bagi saya sindiran Allah (seperti kes-kesdi atas) jualah metode yang paling efektif.

 Apa yang dapat saya rumuskan hasil daripada idea yang saya kongsikan di atas ialah berjuta sebenarnya hikmah dalam kita menghadapi setiap satu waktu susah kita. Salah satu pendapat dan hikmah yang saya selongkari adalah waktu susah sebenarnya dapat mengubah kita daripada tidak baik kepada baik. Harap anda semua faham dengan tajuk saya dia atas ‘Bila ada yang suka kita waktu susah berbanding waktu senang kita…’. Moga dengan tulisan saya ini, saya dapat mengajak pembaca blog sekalian berfikir dengan sedalamnya sebelum mengambil keputusan yang boleh merubah kita masa kini dan kelak. Baiklah, semoga kita berjumpa lagi dalam siri penulisan yang akan datang. Salam.

Senyap Tak Bermakna Hilang...

Monday, November 22, 2010

Lama jugak ye tak menulis di blog ni. Bukan sibuk sangat tapi tiada idea nak menulis sebab segala idea nak tulis dalam blog telah dimuatkan untuk pengisian facebook dan twitter ye lah, ayat nak tulis pun sikit dan menjimatkan masa. Tempoh hari ada kawan bertanya kenapa dah lama tak update blog so sebabkan pertanyaan itu maka aku rajinkanlah diri menulis ya pada hari ni. Hmm, kejap waktu berlalu pembelajaran sem ni pun hampir tamat. Yelah, masa aku sedang tulis ni pun masih berbaki 4 kertas ujian lagi. Takpelah itu memang tugas dan tanggungjawab seorang pelajar. Selama mana aku lama tak menulis ni banyak kejadian yang berlaku sebenarnya. Setakat mana yang teringat semuanya happy2 belaka.


Sem ni pun aku banyak mengaktifkan diri aku dalam mengacarakan segala macam aktiviti dan program samaada program kawan2, kolej mahupun universiti. Tak kesahlah dapat bayaran ataupun tidak, aku hanya nak memperoleh pengalaman dalam bidang ni korang pun tahukan dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebab lain aku sibukkan diri aku dalam bidang pengacaraan kat uni ni adalah untuk menguatkan sendiri jenama Azrin Ahmad tu. Sebab kalau kita rebut segala macam peluang yang ada kita dapat memastikan nama kita kekal disebut untuk apa-apa program senang cerita kita dah create link kita kat sini. Pesta konvo graduasi yang lepas ni aku pun ada sertai satu pertandingan. Pertandingan ape? UTM Top Host. Secara keseluruhannya not bad lah. Sebab kita dapat ukur sejauh mana tahap kita dalam bidang yang kita suka.

Sebagaimana yang aku beritahu kat juri malam tu, Liyana Adnan dan Zaim Iskandar (peserta Malaysia Top Host TV3) aku sebenarnya lebih terdorong kepada program berbentuk ilmiah dan berita ni sebab rata-rata program yang mendapatkan khidmat aku sebagai MC sume kata yang aku bagus dalam program berbentuk formal senang cerita suara yang memang ala-ala susah nak cari lah. Aku ada buat casting sendiri lah, aku rakam dan aku dengar then aku kritik diri sendiri. Boleh tahan lah, kalau diketengahkan orang cakap boleh dikomersialkan tapi itu semua bergantung kepada rezeki. Kalau dah ditakdirkan itulah profession aku, so aku terima jelah. Apa yang boleh aku katakan sekarang aku cuma berusaha supaya aku terarah kepada apa yang aku minat, segala-galanya terserah kepada-Nya. So, sesape rasa-rasa nak ‘try’ bakat aku jgn lupa contact k? hehe. By the way, aku dapat tempat ke-5. Not that bad right? Haha

Yang best jugak tentang sem ni adalah aku dapat merapatkan lagi hubungan dengan semua coursemate aku yelah selama ni bersendirian jek. Alhamdulillah diaorang pun dapat terima aku. So selama ni, aku jelah yok yo o sesorang melakukan segala macam aktiviti hehe. Katak bawah tempurunglah katakan. Best lah coursemates aku ni, dorang sangat baik segala apa aktiviti yang diaorang buat, diaorang tak lupa ajak aku sekali. Terharulah kan .

Sem ni aku rasa dari sudut study aku cam memain sikit. Aku pun tak tahu, sedangkan cara study mash seperti dulu. Kenapa aku cakap macam tu? Sebab bila aku analisis sebahagian results test aku, ya Allah serupa macam orang tak study memang sedih tapi aku bersyukur sebab bila jadi macam tu kepada diri aku sekurangnya aku tahu Dia telah menegurku dalam keadaan yang boleh menyentap segala perasaan aku dan menunjukan Dialah segala-galanya. Segala apa yang terjadi harus kita selidiki kembali kenapa dan bagaimana musibah sebegitu sekali yang tertimpa pada pundak kita. insyaAllah, bila kita analisis atau muhasabah balik kita dapat perbaiki dan bertaubat segala kesalahan dan kekhilafan yang telah kita lakukan. Aku syukur sangat kerana Allah telah menegur aku dalam ujian sedemikian rupa. Bukan seperti sesetengah orang yang diuji dengan nikmat yang akhirnya dikufuri.

Kekadang aku suka tengok dan renung kembali zaman aku yang terdahulu. Boleh ketawa kalau dingatkan kembali betapa kita suka melakukan dosa, bagaimana kita mudah mengungkitkan perkara yang kecil menjadi yang besar. Hebat ciptaan Allah iaitu otak yang sarat terisi dengan akal yang mana membezakan kita dengan makhluk lain ciptaan-Nya. Pernah tak kita terfikir sampai bila kita nak penuhkan aktiviti hidup kita ni dengan perkara yang sia-sia? Sedangkan kita sentiasa mengharapkan perkara yang baik-baik dan dalam masa yang sama kita beria-ia mengatakan apa yang kita buat selama ni menjurus kepada yang baik? Sedarlah kawan-kawan semua teliti segala apa yang kita buat. Baik di sini gembira di sana. Lumrah hidup yang baik dikenang baik biarpun badan dikandung tanah. Itu jelah cerita yang dapat aku kongsikan bersama kengkawan semua. Yang mana buruk dan baik semuanya datang daripada Allah tetapi yang buruk tu asbab kelemahan diri aku sendiri, janganlah kita ikut! ambil yang baik-baik sahaja. Semoga kita bersua lagi dalam keluaran yang seterusnya. Kepada yang bakal mengambil SPM 23hb 11 2010 ni semoga korang dapat buat yang terbaik demi agama, keluarga dan bangsa. Salam perpaduan dan salam peperiksaan!!!

ANAK SAUDARA PEREMPUAN PERTAMA..

Tuesday, September 21, 2010


ANAK SAUDARA PEREMPUAN YANG PERTAMA YANG MANA TIGA YANG TERAWAL ADALAH LELAKI @ HERO KESEMUANYA.. BARU LAHIR 20HB9 2010 JAM 6.43PAGI..
MOGA BESAR NANTI JADI ANAK YANG SOLEHAH DAN TAAT KEPADA IBU DAN BAPA :)
NAMA?? TAK TAHU LAGI :)

KEJAYAAN INTI KEPAYAHAN :)

Monday, September 20, 2010

Tanyakan mana-mana individu intelektual dan tidak kurang masyarakat awam yang lain pasti bersetuju dengan idea yang saya gagaskan di atas. Seperti kaitan wanita merupakan tulang belakang kejayaan seseorang lelaki, kepayahan juga merupakan syarat perlu seseorang mencapai kejayaan yang kekal. Melihat kesenangan rakan-rakan melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS dan bantuan pinjaman serta biasiswa (kewangan) kadang-kadang saya tertanya adakah kejayaan yang bakal kita kecapi kelak setaraf dengan kejayaan orang-orang terdahulu? Terdetik dibenak fikiran saya tatkala tercetusnya idea ini melalui bacaan SOLUSI isu 23 pada kolum tulisan Prof. Dr. Sidek Baba yang menceritakan betapa banyak halangan dan kedukaan yang ditempuh demi sebuah kejayaan yang digapai kini.



Bukan sahaja masalah kewangan yang menjadi masalah pokok tetapi mental dan rohani beliau turut diusik seolah-olah ingin membantut usaha kearah kejayaan kelak. Tetapi usaha yang dipadu tidak pernah sesekali dilebur tetapi menjadi penguat dalam mengorak langkah seterusnya. Normal jika kita ada masalah tetapi tidak normal jika kita tidak mengetahui cara-cara bagaimana masalah itu ingin kita selesaikan. Kepayahan itu merupakan pembakar kepada kejayaan yang ingin kita lakarkan. Kita mesti pernah mendengar dialog ini, “aku tak nak anak aku susah seperti mana aku susah sekarang”. Lihatlah bagaimana kedukaan dan kesusahan yang pernah kita alami dahulu mendidik kita untuk tidak mendekatinya lagi.


Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang terlindung disebaliknya. Usah kita pertikaikan apa yang telah Allah takdirkan kepada kita. Kita sebagai hamba hanya mampu pasrah dan redha dengan setiap perutusan-Nya kerana Dia mengetahui segalanya. Mungkin baik pada sangkaan kita (kita hanya menilai sesuatu melalui mata dan hati) tetapi besar hikmahnya disisi Allah s.w.t.



Biarlah kita bersedih dan berduka dahulu seperti pepatah “bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian” tetapi kelak hanya ketawa gembira menemani kita selama-lamanya. Ingatlah janji Allah hanya kita yang bakal mengubah nasib diri kita tiada masuk campur Allah akan hal itu. Ayuhlah kawan-kawan jangan kepayahan ini menjadi penyekat kejayaan kita kelak. Tetapi jadikan ia ramuan akan resipi kejayaan kita kelak. insyaAllah semoga kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang. Sebarang cadangan dan kritikan boleh layangkan ke email saya yang telah saya paparkan pada ruangan atas. Assalamu’alaikum w.b.t

STAY FOCUSED!

Dalam usaha kita melayari kehidupan sebagai pelajar universiti tidak dinafikan kejayaan merupakan focus utama kita sepanjang berada di IPTA/IPTS. Tetapi sedarkah kita bahawa landasan kita kearah kejayaan semakin memesong daripada tujuan sebenar kita?sebenarnya, kejayaan yang dicari dan dinanti-nati kita selama ini langsung tidak disulami usaha yang berterusan.



Bercerita daripada pengalaman, saya melihat ramai rakan-rakan saya kerap leka dengan permainan dunia masa kini. Tatkala pensyarah melemparkan cebisan ilmu di hadapan ada segelintir rakan-rakan yang sibuk ‘berutus’ surat dengan sahabat mereka yang lain (tidak berada di dalam kuliah) dan yang paling hebat ringtone telefon tidak dimatikan. Luar biasa hebat rakan-rakan kita yang berada di universiti ini. Sesekali mata turut mengerling tanda menegur ketidaksopanan yang berlaku tetapi bukan dibalas dengan senyuman tersimpu malu malah hilaian tawa sebagai peganti.


Bukan sekadar berutus surat malah ada yang lebih canggih menggunakan ‘perkhidmatan’ wi-fi yang disediakan pihak universiti sekali sekala menjengah laman sesawang sosial seperti facebook , twitter dan sebagainya. Bukan apa, mengantuk mendengar kuliah pensyarah dan pelbagai alasan lain diberikan bagi menghalalkan apa sahaja yang dilakukan. Ingat ya, matlamat tidak pernah menghalalkan cara.


Kesalahan yang dinyatakan di atas bukan untuk menghina atau memperli sebahagian sahabat saya tetapi tidak lain dan tidak bukan hanya untuk mendamba pengajaran daripada kesilapan yang telah kita lakukan. Itulah memang sukar untuk memperoleh fokus ketika kita melakukan sesuatu. Nak nak lagi dalam bidang ilmu ini. Jika kita mengantuk ketika mendengar kuliah yang diberikan oleh pensyarah pastikan kita mencari jalan penyelesaian bagi memastikan tumpuan kita tidak terganggu. Umum mengetahui, tidak banyak soalan yang ditanya dalam peperiksaan terdapat dalam buku yang boleh kita ulangkaji tetapi kuliah pensyarah itu yang banyak disoal dalam peperiksaan itu nanti. Ulangkaji terhadap kuliah yang diberikan oleh pensyarah itu bukan boleh dirujuk melalui buku yang kita beli tetapi nota yang kita tulis melalui pemahaman kita. Pemahaman yang kita zahirkan dalam nota itu berpunca daripada tumpuan kita 100% di dalam kelas.


Menarik bukan jalinan yang terdapat dalam konteks pemahaman dan tumpuan yang diberikan kita di dalam kelas? Belajar di universiti ini perlu bijak. Bijak dalam mengurus masa. Bijakkah kita kalau mengulangkaji buku setebal mungkin demi meraih kefahaman dalam jangka masa sejam dua kuliah? Di sinilah dapat kita saksikan peranan tumpuan itu tadi.


Kesimpulannya, belajarlah mencintai tumpuan yang bakal mengubah kehidupan kita kelak. Ingatlah STAY FOCUSED! Dalam melakukan apa sahaja pekerjaan yang bakal atau sedang kita lakukan. Pasti hidayah dan taufik-Nya berbekas dalam hati kita. Fahamilah bahawa hidup kita di dunia ini merupakan perantaraan kita melangkah kealam yang abadi, akhirat. Beribadatlah seyakin dan sekhusyuk mungkin moga kita sentiasa berada dalam pelukan rahmat-Nya. Semoga kita berjumpa lagi dalam keluaran yang akan datang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...