BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

BILA KU SEDIH AKU TERINGAT...

Tuesday, July 13, 2010

Masih teringat pada tanggal itu, tertawa ayahku seketika tatkala dikhabarkan satu perkhabaran gembira tentang bayi yang dikandungkan oleh isterinya sudah selamat dilahirkan.. (Alhamdulillah). Berganda kegembiraannya pabila aku yang dilahirkan pada ketika itu merupakan satu penantian panjang yang telahpun ketemu penghujung, bayi lelaki! Setelah 4 kali, ibuku melahirkan semuanya anak perempuan. Aku merupakan satu-satunya anak lelakinya. Emak bercerita, Pak begitu gembira sehinggakan kalau aku menangis satu isi rumah dimarahnya. Aku seperti budak lelaki yang lain begitu lasak dan sangat nakal. Kalau aku jatuh dan luka siaplah kakak-kakak ku dimarahinya. Apa sahaja yang aku inginkan pasti dibelinya (mainan)..

Masih ingat tanggal itu langit tidak selalunya cerah kebahgiaan yang tercipta berkat daripada-Nya diuji seketika. Waktu berumur 7 tahun ayahku diserang satu penyakit misteri yang gagal dirawat oleh peruabtan moden (ayahku dikhianati dengan ilmu hitam). Kejamnya orang itu, merampas kebahgian kami sekeluarga. Pelbagai jenis rawatan alternatif telah diusahakan oleh mak dan sanak saudara yang lain tetapi tiada yang berjaya sehinggakan ayahku dirawat di salah sebuah hospital di Kuantan. Sedih tidak terkata, ingat lagi kak Linda bercerita sewaktu dia melawat pak di hospital, pak tak berubah Cuma ada masanya dia seperti manusia normal yang lain yalah yang bebas dari segala masalah kesihatan. Tiada belas ikhsan pelaku yang menghantar ilmu hitam terhadap Pak.

Ingat lagi lepas dah keluar dari hospital tu, Pak pulang ke rumah. Tengok keadaan rambutku yang panjang tidak bergunting, Pak nak bawa aku ke kedai gunting rambut di Kampung Awah. Tetapi mak bagi isyarat jangan ikut sebab ayahku masih belum sihat sepenuhnya. Takut juga aku, bila Pak berkeras nak bawa sehinggakan terpaksa ada orang yang mengawal keadaan dan menenangkannya. Selepas semua pendekatan tradisional dicuba namun tidak ada perubahan, Tok aku (mak Pak) ambil keputusan untuk menghantar Pak ke rumah abangnya yang kedua untuk berubat di situ.

Ingat lgi hari itu, kami sekelurga pulang ke rumah Pak Ngah Cha nak tengok keadaan Pak. Pak makin teruk. Dia bertindak di luar jangkaan shinggakan 5 lelaki dewasa terpaksa memegangnya. Aku tengok mak dah mula menangis. Aku? Aku hanya mampu takut ketika itu memandangkan aku masih berumur 7 tahun ketika itu. Apa sangat insane kecil ketika itu mampu buat? Mengerti jauh sekali.. mak dan semua ahli keluargaku pulang dari rumah Pak Ngah Cha dalam keadaan sedih kerana keadaan Pak semakin teruk.

Pada hari itu, aku dan Kak Eijah pergi ke sekolah seperti biasa. Kawan Kak Eijah, budak lelaki telah kematian ibunya pada hari itu. Aku yang tidak mengerti apa-apa ketika itu terus mengejek keadaannya. Pulangnya dari sekolah hatiku tertanya-tanya sambil memandang kak Eijah yang pada fikiran aku turut sama bingung melihat keadaan di situ, banayk kereta dan banyak orang. Dari jauh sayup-sayup aku melihat mata mak merah-merah menangis. Aku tak syak apa-apapun, Pak meninggal!!! Kak Eijah bagitahu, patutlah mak menangis, pasangan hidupnya telah menghadap Ilahi. Kami anak beranak menaiki van salah seorang penduduk di kawasan jiran.

Sempat juga aku tengok arwah ayah dimandikan takut juga, nak menangis tapi tak tahu kenapa tak boleh menangis saat dan ketika itu. Masa pak dikapankan kami semua tengok. Mak tak berhenti menangis. Lepas nak tutup muka Pak, ada orang kat situ cakap, “Ha, ciumlah Pak buat kali terakhir nanti tak boleh dah...” ketika aku menulis ni sebak dada bila mengimbau kenangan itu. Aku pun ciumlah, terasa sejuk didahinya. Mak tak berhenti menangis nak nak lagi melihat aksi anak bongsunya yang takut nak cium arwah Pak yang kaku serba putih itu. Lepas selesai arwah Pak dikafankan, kak lina yang baru habis kelas (nak dekat SPM waktu ni) pun datang. Apalagi pengsanlah Kak Lina mungkin kerana letih. Lepas tu, jenazah arwah Pak pun diusung orang ke tapak kebumian. Mak tak bagi aku pergi sekali waktu itu sebab aku masih kecil. Ingat lagi adik tanya “Pak gi mana?” aku pun cakap “Pak dah tak ada”. Susah nak terangkan kat dia, dia tak faham. Ingat lagi lepas Pak tak ada semua benda kena buat sendiri mak pulak makin kurus. Masa adik aku daftar ke sekolah rendah masuk darjah satu, mak menangis sebab adik tak dihantar oleh ayah sebab kami berlima (kak Linda, Kak Lina, Kak Liza, Kak Eijah ngan aku semua Pak yang daftarkan) mak menangis adik tidak berkesempatan arwah Pak nak hantar dan daftarkan. Sedih hidup tanpa ayah disisi. Hilangmu tiada berganti, pergimu ditangisi.


AHMAD BIN PARLAN 1957-1998. AL-FATIHAH..

TULISAN CINTA

Sunday, July 11, 2010

Madah Cinta..




“Titi yang indah tak pernah sepi menahan pijakan sang insan yang tak pernah jemu melaluinya begitu juga hati yang tidak pernah jemu membelai rasa kasih makhluk yang cuba memberi seminit cuma”






“Hakikat cinta pahit pada yang mampu menjengah realiti tetapi manis pada cintanya menyulam indah fantasi kerana cinta itu tanggungjawab yang mana pengorbanan tak kunjung reda”






“Tiupan kasih tautan cinta biar


bergunung duka, biar selaut air mata


jika ada kasih pasti ada cinta”






“Ungkapan indah bukan sahaja dibibir


kunyah dengan ulam kasih


pasti hati berbunga cinta


semoga kumbahannya prasangka cinta itu sendiri”






SAJAK ” TUSUKAN CINTA”


Hamparan duka terbentang;


Membilang sorotan lampau;


Mengunjung datang;


Ya, ku lempar indah manis cinta;


Namun terpalit sisa cuma..






Biar ku naïf tiba datangmu;


Ku pandang wajahku tidak hatimu;


Penetrasi menujah, balasanku hambar;


Sudah! Rontaan menjengah..






Ku lari saat paying meredah panas;


Diam teramat sepi;


Buang terus kilasan semangat itu;


Rindu sayu mengimbau kenangan semalam;


Datangmu tidak menjengah..






Pelangi cinta ku seru mekar;


Biarpun pudar pada semangat;


Tetapi cinta tak pernah luntur dakapan;


Tusukan cinta, lumrah semakin parah..






Biar saya terangkan sedikit apa yang cuba saya sampaikan pada setiap rangkap sajak yang telah saya buat ini. Pada rangkap peratama saya cuba menceritakan betapa seseorang dahulu pernah menghambakan dirinya kepada cinta tetapi setiap cinta yang ditaburkan tuba yang dibalas. Pada rangkap kedua, cinta kembali bertandang ke dalam hati. Dia cuba mengelak sedaya boleh bagi memastikan kekecewaan yang dialaminya dahulu tidak lagi berulang. Segala usaha cinta yang dilakukan oleh pihak yang lain sebolehnya cuba dia mengelak sehingga batin romanticnya memberontak.


Pada rangkap ketiga pula, semakin dia cuba mengelak perasaan cinta yang hadir semakin sepi hati dia, semakin dia berasa kekosongan. Dia berasa sayu tatkala menyorot kenangan semalam. Puas dia tunggu kembalinya sang pencinta tetapi harapannya hampa. Pada rangkap terakhir ini, dia kembali memuja cinta walaupun dia tahu semangat itu mungkin tidak sesegar dahulu. Dia tahu cinta sentiasa menjanjikan kemanisan kepada yang tahu erti cinta sebenar. Cinta kembali berasak biarpun hakikatnya pahit, manis itu pasti diburu..

PENAMATNYA BELUM KITA HABISKAN..

Tuesday, July 06, 2010

Salam semua bertemu lagi dalam blog saya dan terima kasih kepada yang sudi membaca post saya pada kali ini. Tajuk ini saya terfikir tatkala bersms dengan sahabat saya. Sahabat saya memberitahu kesukaran yang dialami dalam mengikuti pelajaran kursus yang diminatinya. Alhamdulillah, sahabat saya masih mengekalkan kecemerlangan yang dibuktikan menerusi pencapaian dalam setiap peperiksaan yang dimiliki dan masih kekal dalam kelompok CGPA dan GPA 3 ke atas.



Syukurlah kepada tuhan kerana kecemerlangan itu masih di dalam tangan kita walaupun kita menghadapi kesukaran sepanjang menempuh kursus yang kita minati. Bagi saya sifirnya mudah, kalau kita tak diuji maka kita tak dapat mengenali potensi diri dan bila kita tahu susah senang ketika menghadapi kesukaran itu maka senang untuk kita hadapi kesukaran itu kelak. Susah mahu berjumpa seseorang yang berjaya tanpa menghadapi halangan kerana rata-rata kejayaan yang kita dapat kini merupakan set kepada permasalahan yang timbul. Percubaan kepada kegagalan pasti membuahkan kejayaan.


Selain itu, jangan sesekali mentafsirkan diri kita sudah kalah dan kita tidak menepati piawaian kepada apa yang kita lakukan kerana kejayaan seseorang itu tidak hanya terletak kepada keputusan peperiksaan atau sebagainya di dalam dewan kuliah kerana hanya kita yang meletakkan kualiti kepada diri kita. Kalau kita yakin kita tidak berjaya maka semestinya kita tidak berjaya. Tetapi jika kita yakin kita berjaya, kita akan berusaha sehabis baik bagi membuktikan kejayaan itu milik kita.


Apabila kita mengambil sesuatu keputusan dan sebagai contoh kursus yang telah kita ambil maka secara rohaniahnya dan mentalnya kita sudah bersedia menerima segala cabaran dan kesukaran sepanjang kita mengikuti kursus tersebut. Kerana saya percaya ketika kita membuat pemilihan kursus yang bakal kita ambil kita tidak hanya membuat berdasarkan satu faktor sahaja kerana banyak faktor yang diambil kira seperti peluang pekerjaan, potensi diri, minat dan lain-lain.


Sudah sampai masa kah kita menyerah kalah? Semestinya tidak! Jika kita dapat membuat perumpamaan samalah seperti orang yang sedang berlari. Garisan penamatnya belum kita temui dan tidak wajar kita menyerah kalah tetapi tidak dinafikan ramai yang rebah di persimpangan tetapi mahukah kita menjadi sebahagian daripada mereka yang mudah tewas kepada halangan yang baru mereka tempuh? Cubalah selagi kita terdaya kerana Allah telah berfirman tiada satu pun ujian yang ditimpakan ke atas hamba-Nya melainkan hamba-Nya berupaya terhadap ujian itu. Allah tidak membebankan kita dengan sesuatu yang tidak kita tertanggung.


Wahai sahabat, renunglah kembali kepada tujuan dan misi kita sekarang. Kerana jika tidak jelas misi dan tujuan itu sekarang maka kejayaan masih kabur. Ingatlah jika kita mahu mengalah sebenarnya penamatnya belum kita habiskan. Habiskan lah penamat itu kerana kemanisan pasti terserlah dalam kejayaan yang bakal kita tempuh.. sehingga bertemu lagi dalam post yang akan datang.. salam 1 malaysia.

KITA TAK PANDAI SEBENARNYA...


Assalamualaikum kepada pengikut blog ini. Tajuk yang bakal saya kupas pada kali ini merupakan tajuk yang amat sesuai selari dengan keadaan saya sekarang yang akan meneruskan pembelajaran disemester ketiga saya. Kita manusia penuh dengan kekurangan kerana kesempurnaan itu hanya milik-Nya. Kita, sebagai khalifah di bumi Allah hanya dibekalkan dengan ilmu yang secebis cuma maka memang betullah kita tak pandai sebenarnya. Betulkan saya jika fakta yang saya berikan ini salah, saya pernah terbaca di majalah bahawa kita sebagai manusia ketika hayat hanya menggunakan sedikit sahaja fungsi otak dan akal. Ya Allah, betapa besar nikmat dan kurniaan yang telah engkau berikan tetapi kami masih tidak dapat menggunakan sehabis baik.




Apabila kita bergelar mahasiwa dan mendapat keputusan cemerlang janganlah kita membangga diri dan takabbur dengan kejayaan yang kita kecapi kini kerana ada yang lebih ‘pandai’ sebenarnya. Sepatutnya, kita haruslah berasa syukur dengan kejayaan yang Dia kurniakan kepada kita. Bangga itu memang benar susah kita hendak nafikan dalam diri kita tetapi bagaimana kita menghadapinya itu merupakan ilmu yang penting bagi mengelakkan kita tergolong daripada golongan yang saya sebutkan seperti di atas.


Pada pendapat saya, kejayaan kepada seorang yang berasakan dirinya pandai dan memandang rendah terhadap orang lain merupakan satu sindiran sinis Allah kepada mereka kerana ilmu Allah itu maha luas dan kita tidak mampu untuk menguasai kesemuanya. Kita hidup sebagai khalifah haruslah tidak lokek berkongsi sesuatu. Sebab itu apabila kita berada di dalam kelas kita dapat memerhatikan satu senario dimana tidak ada seorang yang hebat atau pandai dalam semua subjek. Maka apabila kita lemah dalam sesuatu subjek bertanyalah kepada rakan yang lebih pandai dan begitu juga sebaliknya jikalau kita pandai akan sesuatu subjek maka kita hendaklah menerangkan dan mengajar sahabat-sahabat kita yang lemah dalam mata pelajaran tersebut.



Sahabat yang saya hormati, berkongsilah ilmu kerana apabila seseorang berkongsi ilmu maka dijanjikan bahawa ilmu yang sedia ada tidak akan berkurang malah semakin bertambah. Ilmu yang kita miliki pada hari ini sangat kecil berbanding ilmu Maha Pencipta maka marilah kita tidak lokek dalam perkongsian ilmu kerana kita tidak pandai sebenarnya...

BUAT APA MASA CUTI??

Assalamu’alaikum w.b.t. Alhamdulillah kita masih bernafas sehingga hari ini. Moga setiap pernafasan kita disertai erti syukur kepada-Nya. Amboi sahabat semua, lama benar cuti saya kali ini. Cuti tahun lah katakan. Sebut fasal cuti ni, semenjak dah memasuki gerbang universiti ni saya semakin tidak update dengan cuti pelajar sekolah. Maklumlah, cuti mereka dan saya sudah tidak sama. Itulah sebabnya tiba-tiba sahaja saya bercuti selama 3 bulan kalau difikirkan kembali susah mahu cuti selama ini ketika masih di bangku sekolah paling lama pun sebulan lebih je itupun cuti pada akhir tahun. Selepas cuti ni berangkatlah saya kembali ke bumi ilmu UTM meneruskan semester pertama tahun kedua. Semester kali ini penting seperti semester-semester yang lepas. Saya perlu lebih gigih semoga hasrat mahu graduate 1st class menjadi kenyataan. Alhamdulillah sekali lagi kepada-Nya kerana berkat doa ibu ditambah usaha saya sendiri semester lepas saya berjaya memperoleh keputusan 3.77 walaupun tidak cemerlang semsester sebelumnya tetapi saya masih berusaha tpng saya adalah 3.84. semoga visi dan misi saya kini dapat diteruskan sehingga ke akhir.




Cuti yang lama ni saya banyak menghabiskan masa lapang bersama keluarga tercinta dan tak lupa menonton tv. Saya sempat menonton drama slot lagenda di tv3, Sayang Cendana. Oleh kerana plot cerita yang agak membosankan saya tidak menonton drama tersebut sehingga akhir. Saya juga tidak melepaskan peluang menonton drama bersiri inggeris di star world. Desperate Housewife mempunyai jalan cerita yang menarik sehingga saya menonton musim ke-4 sehingga habis dan kini drama itu diteruskan lagi dengan muism ke-5. Drama tersebut mengisahkan gaya hidup wanita barat yang penuh dengan skandal yang sama sekali ditegah oleh Islam. Watak utama cerita tersebut ialah Lynette, Bree, Katherine, Susan. Saya memang tidak pernah terlepas menonton drama ini kerana pada setiap episode, drama ini sentiasa memaparkan kelainan. Kelainan drama ini dengan drama yang lain ialah pada setiap permulaan dan penghabisan cerita disertakan dengan watak narrator yang bertindak menceritakan pengenalan setiap episode. Memang drama ini bermutu dari segi lakonan. Drama ini disiarkan di star world setiap hari isnin hingga jumat jam 5 petang.



Selain itu saya turut menonton drama Glee yang merupakan drama yang kian mendapat sokongan dan perhatian setiap rakayat Malaysia. Seperti drama muzikal yang lain, Glee turut memaparkan adegan nyanyian yang pada saya amat bermutu. Pada pendapat saya apa yang meletakkan drama ini lain dengan drama muzikal sebelumnya ialah kekuatan pelakon dan muzik yang cuba diketengahkan. Memang tak jemu menonton rancangan ini. Kalau nak dibandingkan dengan drama tempatan seperti Hotel Mania yang turut menggunakan konsep yang sama, drama Malaysia masih ketinggalan. Drama kita kalah dengan kekuatan plot cerita dan tak banyak yang boleh diperkatakan tentangnya. Imej yang diketengahkan langsung tidak mengundang minat kerana kita tiada imej yang original bak kata orang sekarang originality itu kita tiada. Semoga identity kita dapat diketengahkan pada masa yang akan datang. Glee disiarkan di star world setiap rabu jam 9 malam.



Saya turut tidak melepaskan peluang menonton drama korea yang pernah ditayangkan di 8tv kalau saya tak silap iaitu Coffee Prince. Mengisahkan tentang seorang perempuan yang menyamar sebagai seorang lelaki dan bekerja di sebuah restoran menjual kopi. Secara tidak langsung telah berminat @ cinta terhadap bosnya. Perasaan ini turut dirasai oleh bosnya lantas teringat adakah dia seorng gay? Jangan lupa kepada sesiapa yang masih belum berkesempatan menonton drama ini boleh tontonnya di animax setiap jumaat jam 8 malam. Nak tengok di laptop kawan setelah pulang ke UTM. Saya turut menonton drama Boyz Over Flower. Memang best drama ni tapi di dalam laptop saya, saya hanya berpeluang menonton hingga ke episode 24 kerana saya telah ketinggalan satu episode. Hish, tekanan jugak lah sebab satu lagi episode akhir tak ape saya minta kat kawan nanti.



Hmm, banyak lagi rancangan yang saya tonton dan apa yang saya ceritakan di atas antara favourite saya sepanjang saya bercuti. Memang itu sahaja cara saya menghabiskan cuti kali ini sebab nak berjalan tak ada yang sudi mengajak. Bila cuti lain kali saya berhasrat ingin menghabiskan cuti kelak dengan aktiviti melancong ke destinasi menarik di semenanjung Malaysia. Semoga apa yang kita lakukan mendapat keberkatan dari Yang Maha Kuasa. Nye-bye, jumpa lagi pada keluaran yang akan datang

TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA..


Apa khabar semua? Harap sihat hendaknya. Kenapa ya saya mengucapkan tahniah pada post saya kali ini? Pelik bukan? Sebenarnya suka saya berkongsi cerita berkenaan kebanyakkan kawan saya yang berjaya melanjutkan pelajaran kali ini di peringkat ijazah muda. Semua kawan saya yang dapat melanjutkan pelajaran kali ini terdiri daripada pelajar lepasan matrikulasi di seluruh Malaysia.



Memang kejayaan yang dikecapi kini berbaloi standing dengan usaha dan tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran. Kalau saya tak silap keputusan sama ada mereka diterima masuk ke IPTA telah dimaklumkan melalui internet sekitar 18hb Jun yang lalu. Rata-rata kawan saya dapat menempatkan diri mereka ke IPTA terkemuka di seluruh dunia seperti UM, UIA, USM, UiTM, UKM, UPM, UMP, UMS, UTM dan sebagainya.


Buat pengetahuan semua saya sekarang sedang menuntut di UTM dalam jurusan Sains Matematik pengajian saya masih berbaki 2 tahun. Oleh kerana saya telah awal setahun masuk ke universiti, maka intake julai kali ini amat bermakna kerana saya dapat tahu bahawa lebih kurang 9 orang kawan saya semasa kami sama-sama menuntut di MRSM MUADZAM SHAH tealah ditawarkan ke UTM. Antaranya, Haniff @ Balaw, Syafiq Rahim, Khairool, Ayu, Afdhal, Izuwan, Hidayad dan Zubaidah.


So, ucapan saya buat mereka selamat datang ke bumi ilmu UTM dan semoga kecemerlangan semasa menuntut di matrikulasi yang lalu dapat diteruskan di UTM. Kepada yang tidak berjaya semoga minat anda kepada ilmu tidak berkurangan malah makin meningkat hendaknya. Jangan lupa merebut peluang yang masih ada pada IPTS yang terdapat di Malaysia mahupun luar negara. Bukan hanya di IPTA kejayaan dapat kita lakarkan dan bagi saya kalau ada kemahuan di situ ada kejayaan. Semoga berjumpa lagi pada keluaran yang akan datang. Kepada kawan-kawan yang akan mendaftar di UTM, kalau kita berjumpa jangan lupa tegur ya? Akhir kata saya tinggalkan anda dengan lirik indah Keunggulan Terbilang lagu rasmi UTM.



 
KEUNGGULAN TERBILANG



Bersama kita menjulang Keunggulan terbilang


Ke mercu jaya kita usaha UTM puncak letaknya


Martabat keilmuwancendekiawan beriman


Cekal bersama takwa menara cita-cita


Kami anak kandung, UTM rimbun bernaung


Usaha kami bukti cintamu dikau persada ilmu


Keazaman, perjuangan, takwa dan iman


Ke arah kecemerlangan perundingan penulisan


Pengajaran penyelidikan perkhidmatan kepada watan


Di sini kami berdiri setia pada janji


Bermaruah berbudi bahasa UTM sanjungan bangsa


UTM... sanjungan bangsa..



MAJALAH MAKANAN HATI CERNAAN MINDA

Assalamualaikum, edisi tulisan saya pada kali ini saya ingin mengajak rakan-rakan dan pembaca blog saya agar segera mendapatkan satu buku agama yang dikeluarkan pada setiap awal bulan iaitu Majalah SOLUSI. Majalah SOLUSI merupakan satu majalah berbentuk tulisan agama yang mampu kita memiliki kerana nilai ilmu yang ada sangat bermanfaat sesuai dengan keadaan kita melayari kehidupan pada era globalisasi ini. Saya mula tertarik membaca Majalah SOLUSI ini pada keluaran yang ke-16 yang membawa tema “Ibu Bapa Derhaka”. Tema yang jarang diketengahkan umum ini langsung menyebabkan jiwa ini terpikat akan SOLUSI. Pabila saya membelek segala maklumat dan isu yang diketengahkan, saya mendapati inilah satu majalah yang benar-benar merungkai kesulitan agama yang menghuni benak fikiran saya selama ini. Para kolumnis yang terdiri seperti ustaz Zahazan, Zaharudin dan lain-lain menggunakan bahasa yang mudah dan senang difahami oleh masyarakat umum lebih-lebih lagi saya yang cetek ilmunya dalam bidang agama. Apalagi kawan-kawan tunggu apa kata jom ke kedai-kedai buku dan yang sama waktunya kita dapatkan Majalah SOLUSI pada bulan jun iaitu isu ke-20 yang mengangkat tema Belajar Daripada Alam”. Isu terbaru, the lattest one is isu ke-21 yang mmbawa tema “Melebur Tabbur". Terima Kasih yang tidak terhingga kepada penerbit Telaga Biru yang sudi mengeluarkan majalah begini.





Selain Majalah SOLUSI, saya ada satu lagi buku yang ingin saya kongsikan dengan para bloggers semua. Saya tertarik akan buku ini sekian kalinya apabila saya sedang menonton siaran MHI pada hari jumaat 4hb JUN 2010. Buku yang saya maksudkan adalah “Palestin Tak Pernah Gentar : Fatwa Kotemporari dan Penyelesaiannya” karangan Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Fatimah Syarha Mohd. Noordin. Buku ini memberikan kita maklumat berkaitan Yahudi berlandaskan Al-Quran dan sejarah silam beserta isi kitab pegangan masyarakat Yahudi iaitu kitab Talmud. Betllah kata orang dulu-dulu “tak kenal maka tak cinta” begitulah samanya bagaimana kita hendak menghadapi bangsa degil Yahudi ini. Nak tahu lebih lanjut? Apa kata kita ke kedai buku berhampiran dan dapatkannya sekarang. Tak mahal pun, RM20 sahaja. Duit yang tidak sebesar mana jikalau ingin dibandingkan dengan ilmuu yang kelak bakal kita peroleh. Allahuakbar!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...