BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

PERUTUSAN 2.0.1.1

Friday, December 31, 2010


Melangkah lagi ke tahun baru masihi. Pada kebanyakkan orang episode duka kembali menambah cartanya tak kurang juga sebahagian yang lain meratap pergi kenangan 2.0.1.0. Apa jua cara kita menyambut 2011 ini, 2011 tetap akan datang sesuai dengan tahun-tahun yang berikutnya. Jika tahun Hijrah, tahun yang mendatang dimulakan dengan doa pembuka tahun yang memohon keberkatan dan keampunan tak kurangnya juga demngan tahun baru masihi. Pelbagai azam dipasang bagi memastikan perjalanan 2011 ini tidak tersasar dengan perancangan asal. Berbalik kepada tahun 2010, sebanyak mana azam yang dipasang dapat kita realisasikan? Gembiralah apabila setiap yang dirancang dapat direalisasikan dan merataplah kedukaan apabila pelbagai perancangan seawal tahun 2010 tidak menjadi kenyataan. Pokok pangkalnya terletak pada pundak diri kita Berjaya ataupun tidak.

Bagaimana ingin memastikan segala apa yang dirancang dapat direalisasikan. Bagi saya, apabila kita ingin merancang sesuatu pastikan ianya berada pada batas kemampuan diri kita. Tak guna merancang sesuatu yang hebat tetapi berada di luar batasan kemampuan kita. Biar sekecil mana tetapi jika berjaya kepuasannya terletak pada diri kita. Azam yang dibuat haruslah azam yang mempunyai wawasan kejayaan. Pastikan azam kita merupakan azam yang dapat membuatkan kita sentiasa berazam sepanjang tahun 2011 pastikan ianya istiqamah kerana orang yang berjaya itu sentiasa istiqamah dalam setiap perkara. Apabila tahun baru menjelma janganlah kita sentiasa bersikap realistik. Hidup ini sementara sahaja. Akhlak juga hrus di’azam’kan baru sempurna diri kita. Jika tahun sebelumya kita sentiasa bercakap buruk akan peribadi orang lain apa kata tahun ini kita berubah untuk menjadikan diri kita tergolong dalam hadis nabi yang hari ini lebih baik daripada hari semalam.

Tahun baru juga kita mesti merancang semua kewangan kita supaya hidup kita pada hari berikutnya lebih produktif. Jika kita hidup berseorangan mungkin kita tidak kisah akan perbelanjaan kita tetapi apabila kita hidup berkeluarga perancangan kewangan yang baik dapat memastikan kita menjalani hari pada 2011 dengan tenang. Perancangan kewangan yang baik dapat memastikan kita sentiasa selamat jika timbuk masalah seperti hutang, kematian dan sebagainya. Kewangan yang baik juga dapat menstabilkan institusi kekeluargaan lebih stabil kerana jika tidak institusi kekeluargaan mudah goyah dan runtuh.

Saya? Pada tahun ini, saya berazam ingin berbakti kepada keluarga terutamanya ibu saya dengan lebih baik. Saya ingin memastikan setiap keputusan peperiksaan saya cemerlang sesuai dengan hasil usaha saya yang terbilang. Saya juga ingin memastikan diri ini lebih banyak terlibat dengan aktiviti universiti, fakulti dan kolej. Saya juga ingin memperbaiki akhlak saya ke tahap yang lebih membanggakan dan saya ingin memastikan juga diri ini ada masa untuk sentiasa bermuhasabah dengan setiap satu perkara yang saya usahakan. Saya mendoakan yang terbaik untuk kalian pada tahun 2011 dan semoga menjalani tahun 2011 dengan ceria.

AFF SUZUKI CUP 2010 : Minoriti Menggambarkan Keseluruhan Indonesia

Thursday, December 30, 2010


Apabila terlintas di minda akan tajuk ini, saya langsung tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam bidang bola sepak dan acara ini khususnya tetapi sebagai peminat terhadap pasukan negaranya yang menjuarai AFF SUZUKI CUP 2010 ini saya turut mempunyai pandangan saya yang tersendiri. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitu mudah untuk menggambarkan peribahasa ini. Tuah Malaysia yang kalah kepada Indonesia pada peringkat kumpulan dengan 5-1 tiada siapa yang tahu sehinggalah pada tanggal 29hb12 2010 menyaksikan Malaysia buat julung kali nya membawa pulang Piala AFF SUZUKI sepanjang 14 tahun temasya itu berlangsung.

Hebat cukup hebat skuad bimbingan Rajagobal ini, bermula daripada bawah sehingga kini menjulang jolokan ‘Raja Bola Sepak Asia Tenggara’. Adat manusia bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, hal yang sama turut dialami oleh pasukan Harimau Malaya. Kemenangan di Stadium Negara Bukit Jalil dengan 3-0 begitu memberi tamparan yang cukup hebat kepada penyokong fanatik Indonesia. Pelbagai isu turut dicetuskan seperti isu laser yang menghalang dan membataskan penglihatan penjaga gol mereka. Seperti yang sudah dijelaskan laser yang hanya berkesan pada jarak jauh hanyalah laser perubatan. 




Malaysia yang cukup positif dengan apa yang berlaku memaksa kita di pihak Malaysia menguar-uarkan bahawa bukan kita yang memulakan isu laser ini. Masalah ini sudah pun kita alami ketika bertandang di Stadium Bung Karno (saya tidak pasti akan nama stadium itu yang sebenar). Kepada yang berminat boleh merujuk video insiden laser berkenaan di youtube. Kekalahan kita 5-1 bukan menjatuhkan semangat untuk beraksi pada perlawanan seterusnya tetapi merupakan titik tolak dalam melakarkan kemenangan yang berikutnya. Bahkan kita, Malaysia tidak punya masa membuat ‘post mortem’ yang mengarut itu. Kalah biarkan kalah, hadapi game yang seterusnya. Saya rasa itu mungkin prinsip kita jika kita yang kalah.


Tidak berakhir dengan masalah laser yang dikaitkan dengan kekalahan tempoh hari, pihak media Indonesia seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan tersebut dengan mengeluarkan fitnah-fitnah dan tuduhan yang tidak berasas kepada skuad Malaysia seperti penggunaan pemain import, isu bomoh (kononnya pemain mereka mengalami gatal-gatal ketika berlawan di Malaysia) dan sebagainya. Masalah yang tidak berkesudahan yang ditimbulkan oleh pihak media di sana seperti mempunyai agenda tertentu dan mungkin ingin membangkitkan lagi api dalam kalangan rakyat mereka yang sebetulnya memang anti-Malaysia. Pihak media di Malaysia hanya mampu membalas tohmahan tersebut dengan ‘Sudah-sudahlah…’. 



 Itu adalah apa yang telah dikhabarkan oleh akhbar-akhbar dan ditambah lagi dengan media zaman moden seperti Facebook dan twitter. Pada malam kekalahan di Malaysia, trending topic (TT) di twitter adalah HateMalaysia dan MalaysiaCheatLaser. Maklumlah segala apa yang tersiar di media moden langsung tidak ditapis maka pelbagai ayat mencarut dan lucah turut ditulis menggambarkan ketidakpuasan hati mereka. Tidak cukup dengan komen-komen yang negatif rakyat Malaysia turut dihina menerusi gambar-gambar yang menghina pasukan Malaysia.

Alhamdulillah, segala apa yang berlaku di internet dan media-media lain langsung tidak mematahkan semangat juang pemain kebangsaan. Emosi penyokong fanatik Indonesia tidak terbendung lagi dengan perhimpunan terkawal yang berada di luar penginapan pemain kebangsaan yang mengecam pemain kebangsaan dengan alasan-alasan karut yang telah saya nyatakan pada permulaan tadi sehinggakan lokasi latihan pemain terpaksa ditukar-tukar demi menjaga keselamatan para pemain. Hal ini telah mengundang rasa sedih pihak Rajagobal dengan hospitality yang diberikan mereka berbanding ketika mereka berada di Malaysia. Rajagobal turut memaklumkan mereka tidak dapat membuat latihan dengan baik dan bersungguh-sungguh dek kejadian itu. Mereka hanya boleh dikatakan ‘memanaskan badan’ sahaja.


Situasi rakyat Malaysia yang kelihatan tenang menghadapi karenah peminat Indonesia menunjukkan betapa kita merupakan rakyat yang bersikap positif. Dunia dapat mengukur betapa peminat sukan di Malaysia merupakan peminat yang menggunakan otak tanpa dikawal oleh orang lain. Syabas skuad Malaysia di bawah bimbingan Rajagobal kerana menamatkan kemarau 14 tahun menjulang piala AFF SUZUKI 2010.


Apa yang dapat saya simpulkan betapa rakyat seberang dikawal sepenuhnya minda mereka oleh media-media yang menyemai perasaan benci akan Malaysia bukan menggunakan masalah laser itu sahaja. Bagi saya, saya mengerti bukan semua rakyat Indonesia berfikir sedemikian tetapi ingatlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sebenarnya, banyak pertelingkahan kita yang mewujudkan dendam dalam kalangan rakyat Indonesia (saya tidak selidiki tetapi cuma tahu sahaja) dan pertembungan MALAYSIA-INDONESIA mungkin diambil kesempatan bagi menghangatkan lagi hubungan dua negara oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Malaysia terus positif dalam memajukan sukan negara dan tidak sesekali akan mengeluarkan idea yang tidak munasabah akan kekalahan sendiri. Malaysia BOLEH!!! Syabas pasukan Malaysia, tahniah3x Harimau Malaya Tanah Tumpahnya Darahku…

Saya, Isi dikembang dari Tajuk!

Wednesday, December 29, 2010


Berfikir akan sesuatu merupakan frasa yang begitu bebas kedengaran. Ia memang bebas kerana kita berfikir hanya kita sahaja. Tiada yang boleh membantah atau menyoal kerana ia masih berbentuk fikiran melainkan jika fikiran itu sudah kita suarakan. Tajuk post saya pada kali ini merupakan satu fikiran yang telah saya tuliskan. Seringkali saya berfikir akan setiap satu perkataan yang saya dengari dan fahami. Kekadang sama seperti insane biasa, saya kerap terlupa kerana kita harus faham bahawa akal seperti suatu tempat yang begitu luas andai kita tumpukan pada sesuatu, sesuatu yang pernah kita tumpu terlebih dahulu mudah hilang jika tiada tanda yang menandakannya.

Maka menginjaknya umur kepada 19 tahun membuatkan saya berfikir bagaimana untuk memastikan apa yang pernah terfikir tidak hilang begitu sahaja. Tiba-tiba saya teringat akan pengucapan oleh seseorang iaitu melihat lebih baik daripada mendengar. Lalu, setiap apa yang terlintas di benak fikiran ini akan saya tuliskan di atas kertas. Akal setiap insan berfungsi dengan berbeza mengikut kepada bagaimana kita mendengar, melihat dan menyelesaikan sesuatu perkara itu. Saya tidak tahu akan orang lain, tetapi saya arif akan diri saya.

Hobi yang suka membaca dan menulis ini membuatkan saya tahu apa yang hendak saya lakukan ketika hendak menulis sesuatu tak kisahlah cerpen, rencana dan sebagainya. Untuk memastikan saya dapat menulis dengan baik saya mengfungsikan akal saya untuk memikirkan idea tajuk terlebih dahulu kerana saya, isi dikembang daripada tajuk. Amatlah sukar bagi saya untuk menulis jika saya tidak mendapatkan tajuk terlebih dahulu. Mungkin pelik bagi anda tetapi normal bagi saya. Begitulah apa yang ingin saya kongsikan perihal saya kepada anda. Signifikannya, kita berfungi sesuai dengan tugas kita kepada Allah sebagai khalifah dan hamba-Nya.

Bersyukur kita kepada-Nya kerana setiap apa yang berlaku mengikut turutan. Tiada apa yang berlaku didunia ini melainkan ada turutannya yang sendiri. Susanan ini yang patut kita ikut jika tidak keputusannya seperti hari ini. Bencana alam seperti tornado, banjir, tanah runtuh, tsuami dan sebagainya. Andai kita sentiasa resah dengan kehidupan kita, perhati semula mana salah silapnya kerana bagi saya salah itu berlaku apabila hidup kita tiada perancangan sedangkan Allah ada perancangan bagis setiap satu hambanya inikan kita pada diri kita sendiri.

Lain Orang Lain Caranya


Dalam kehidupan seharian kita ni tak semestinya apa yang selalu kita lakukan tidak akan sentiasa sempurna. Ingat lagi kata-kata Yasmin Ahmad, sempurna itu milik tuhan. Kita hanya mampu untuk memberikan yang terbaik sahaja. Apa khabar kepada rakan-rakan yang sudi membaca post-post saya pada masa ini? Harap anda sihat semuanya. Mungkin ramai yang terpukul dengan tajuk post saya pada kali ini bukan? Berasa seperti terkena pada batang hidung sendiri kerana mungkin suatu ketika dahulu kita sentiasa memaksa orang mengikut cara kita tetapi jelas dan kita agaknya faham ‘Lain Orang Lain Caranya’. Ini yang cuba saya bincangkan bersama-sama anda pada keluaran kali ini.

Cara kita bekerja dengan insane-insan yang lain sememangnya tidak sama. Ia berbalik bagaimana kita mendekati (approach) setiap masalah yang datang, apa perspektif kita apabila menghadapi sesuatu perkara, dan bagaimana bentuk penyelesaian yang akan kita aplikasikan kepada setiap permasalahan itu. Ya, manusia dikurniakan akal yang membolehkan kita menentukan mana yang baik dan mana yang buruk dan oleh kerana faktor-faktor di atas jugalah sebab itu di dunia ada yang baik dan ada yang jahat. Konsep ini begitu jelas apabila kita cuba memberikan nasihat kepada orang lain. Cuba anda memberi teguran kepada orang lain dengan cara yang kasar berbanding memberi teguran dengan penuh berhikmah. Tentu sekali cara yang berhikmah lebih disukai. Sungguh manusia itu mencintai keindahan.

Apabila kita berhadapan dengan sekalian insan, kita harus mendekati mereka dengan cara yang berbeza-beza kerana setiap satu orang yang kita berurusan banyak karenahnya ada yang peramah, pendiam, pemalu, perengus dan sebagainya. Jika ingin melakukan sesuatu tak salah menyelidik terlebih dahulu. Pada zaman Rasulullah SAW pun, setiap perkara dilakukan dengan mempunyai perancangan seteliti yang boleh.

Sesungguhnya betullah asas penciptaan manusia itu sama tetapi yang membezakan mana yang baik dan mana yang buruk terletak kepada bagaimana dia mengfungsikan akal mereka. Gunalah akal serasional yang boleh tetapi andai mengelak setiap satu bukti yang memihak kepada-Nya nescaya kita tergolong dalam kalangan golongan yang rugi. Percaya dan berimanlah kepada Allah dengan penuh keimanan. Insan yang akalnya terdidik dengan akal Al-Quran tidak menunggu bukti baru percaya kerana percaya nya dia akan sesuatu adalah kerana kepercayaan yang sebetulnya mereka percaya tiada dakwa dakwi lagi. Ya, ‘Lain Orang Lain Caranya’ andai kepercayaan dan kebenaran itu hanya pada satu jalan sudah pasti tiada dua tiada tiga. Moga-moga kita sentiasa tergolong dalam kalangan insan yang mendapat naungan rahmat-Nya. Wallahualam!


Bila ada yang suka kita waktu susah berbanding waktu senang kita…

Sunday, December 12, 2010


Salam kepada semua pembaca blog sekalian. Bersua lagi kita dalam siri penulisan yang mengajak kita kembali berfikir asas hidup kita ini. Ini hanya sekadar lontaran pendapat seorang manusia, masih boleh dipersetujui tak kurang juga diberi pendapat akan pembaikan yang boleh dilakukan. Ramai yang mengeluh tatkala waktu susah datang bertandang. Waktu susah yang saya maksudkan di sini adalah waktu yang melibatkan kita berasa kesempitan ketika berada dalam tempoh waktunya seperti kesedihan dan sebagainya. Saya percaya semua sudah dan akan mengalami perkara ini.

Kita mungkin tidak terpandang akan sejuta rahmat yang ditaburkan oleh Pencipta terhadap setiap satu perkara yang ditimpakan ke atas pundak kita khususnya waktu susah. Adakah kita tidak menemukan hikmah kesulitan waktu yang kita alami itu atau kita berusaha mencari seribu alasan untuk tidak kita selidiki hikmah itu? Jawapan itu sudah berada pada diri anda semua. Seperti yang telah banyak saya perkatakan sebelum ini, Allah hanya menguji sesuatu yang termampu untuk kita jalaninya. Jangan bertindak seperti orang yang tidak diberikan akal apabila bertindak memaki dan mencemuh Tuhan di atas kesusahan yang kita alami itu.

Perspektif yang ingin saya kongsikan bersama pembaca blog sekalian dalam konteks ini  adalah bagaimana waktu susah itu sebenarnya dapat menjadikan kita insan yang lebih baik berbanding sebelum kita ditimpakan musibah. Sebagai contoh, orang kaya ditimpa kesusahan. Beliau dengan sekelip mata dapat memikirkan bahawa kekayaan beliau selama ini bukan sekadar terletak pada usaha yang dijanakan tetapi masih berada pada takluk kuasa Yang Maha Esa. Orang kaya ini yang dahulunya takbur kepada Allah oleh kerana sikapnya di atas dapat bertaubat dengan cara pemikiran sekalian. Bukan sekadar worldview nya yang berubah tetapi turut berubah sekali adalah sikapnya yang berhijrah daripada seorang yang sombong dan tidak menghiraukan orang sekelilingnya berubah kepada orang yang menyayangi insan lain dan mengetahui bahawa manusia ini sama tarafnya yang membezakan setiap individu ialah tingkat iman mereka.

Contoh yang mudah dalam kalangan kita pelajar universiti adalah musibah yang ditimpakan terhadap seorang cerdik yang sombong. Jika sebelum dia menerima waktu susah, dia sukar bergaul dengan orang yang memerlukan bantuannya iaitu orang yang agak lambat menerima pemahaman ilmu ketika menerima pembelajaran langsung di kuliah tetapi tidak lagi apabila ujian mengujinya. Biasalah manusia sudah terngantuk baru terngadah. Bila sudah diuji dengan rintangan seperti tidak memperoleh kejayaan seperti sebelumnya baru kita mahu memikir bahawa ilmu itu makin dikongsi makin bertambah. Lumrah manusia sebenarnya bila susah mahu ingat Dia. Biarlah bagaimana metode penyelesaian sekalipun, bagi saya sindiran Allah (seperti kes-kesdi atas) jualah metode yang paling efektif.

 Apa yang dapat saya rumuskan hasil daripada idea yang saya kongsikan di atas ialah berjuta sebenarnya hikmah dalam kita menghadapi setiap satu waktu susah kita. Salah satu pendapat dan hikmah yang saya selongkari adalah waktu susah sebenarnya dapat mengubah kita daripada tidak baik kepada baik. Harap anda semua faham dengan tajuk saya dia atas ‘Bila ada yang suka kita waktu susah berbanding waktu senang kita…’. Moga dengan tulisan saya ini, saya dapat mengajak pembaca blog sekalian berfikir dengan sedalamnya sebelum mengambil keputusan yang boleh merubah kita masa kini dan kelak. Baiklah, semoga kita berjumpa lagi dalam siri penulisan yang akan datang. Salam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...