BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

AFF SUZUKI CUP 2010 : Minoriti Menggambarkan Keseluruhan Indonesia

Thursday, December 30, 2010


Apabila terlintas di minda akan tajuk ini, saya langsung tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam bidang bola sepak dan acara ini khususnya tetapi sebagai peminat terhadap pasukan negaranya yang menjuarai AFF SUZUKI CUP 2010 ini saya turut mempunyai pandangan saya yang tersendiri. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitu mudah untuk menggambarkan peribahasa ini. Tuah Malaysia yang kalah kepada Indonesia pada peringkat kumpulan dengan 5-1 tiada siapa yang tahu sehinggalah pada tanggal 29hb12 2010 menyaksikan Malaysia buat julung kali nya membawa pulang Piala AFF SUZUKI sepanjang 14 tahun temasya itu berlangsung.

Hebat cukup hebat skuad bimbingan Rajagobal ini, bermula daripada bawah sehingga kini menjulang jolokan ‘Raja Bola Sepak Asia Tenggara’. Adat manusia bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, hal yang sama turut dialami oleh pasukan Harimau Malaya. Kemenangan di Stadium Negara Bukit Jalil dengan 3-0 begitu memberi tamparan yang cukup hebat kepada penyokong fanatik Indonesia. Pelbagai isu turut dicetuskan seperti isu laser yang menghalang dan membataskan penglihatan penjaga gol mereka. Seperti yang sudah dijelaskan laser yang hanya berkesan pada jarak jauh hanyalah laser perubatan. 




Malaysia yang cukup positif dengan apa yang berlaku memaksa kita di pihak Malaysia menguar-uarkan bahawa bukan kita yang memulakan isu laser ini. Masalah ini sudah pun kita alami ketika bertandang di Stadium Bung Karno (saya tidak pasti akan nama stadium itu yang sebenar). Kepada yang berminat boleh merujuk video insiden laser berkenaan di youtube. Kekalahan kita 5-1 bukan menjatuhkan semangat untuk beraksi pada perlawanan seterusnya tetapi merupakan titik tolak dalam melakarkan kemenangan yang berikutnya. Bahkan kita, Malaysia tidak punya masa membuat ‘post mortem’ yang mengarut itu. Kalah biarkan kalah, hadapi game yang seterusnya. Saya rasa itu mungkin prinsip kita jika kita yang kalah.


Tidak berakhir dengan masalah laser yang dikaitkan dengan kekalahan tempoh hari, pihak media Indonesia seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan tersebut dengan mengeluarkan fitnah-fitnah dan tuduhan yang tidak berasas kepada skuad Malaysia seperti penggunaan pemain import, isu bomoh (kononnya pemain mereka mengalami gatal-gatal ketika berlawan di Malaysia) dan sebagainya. Masalah yang tidak berkesudahan yang ditimbulkan oleh pihak media di sana seperti mempunyai agenda tertentu dan mungkin ingin membangkitkan lagi api dalam kalangan rakyat mereka yang sebetulnya memang anti-Malaysia. Pihak media di Malaysia hanya mampu membalas tohmahan tersebut dengan ‘Sudah-sudahlah…’. 



 Itu adalah apa yang telah dikhabarkan oleh akhbar-akhbar dan ditambah lagi dengan media zaman moden seperti Facebook dan twitter. Pada malam kekalahan di Malaysia, trending topic (TT) di twitter adalah HateMalaysia dan MalaysiaCheatLaser. Maklumlah segala apa yang tersiar di media moden langsung tidak ditapis maka pelbagai ayat mencarut dan lucah turut ditulis menggambarkan ketidakpuasan hati mereka. Tidak cukup dengan komen-komen yang negatif rakyat Malaysia turut dihina menerusi gambar-gambar yang menghina pasukan Malaysia.

Alhamdulillah, segala apa yang berlaku di internet dan media-media lain langsung tidak mematahkan semangat juang pemain kebangsaan. Emosi penyokong fanatik Indonesia tidak terbendung lagi dengan perhimpunan terkawal yang berada di luar penginapan pemain kebangsaan yang mengecam pemain kebangsaan dengan alasan-alasan karut yang telah saya nyatakan pada permulaan tadi sehinggakan lokasi latihan pemain terpaksa ditukar-tukar demi menjaga keselamatan para pemain. Hal ini telah mengundang rasa sedih pihak Rajagobal dengan hospitality yang diberikan mereka berbanding ketika mereka berada di Malaysia. Rajagobal turut memaklumkan mereka tidak dapat membuat latihan dengan baik dan bersungguh-sungguh dek kejadian itu. Mereka hanya boleh dikatakan ‘memanaskan badan’ sahaja.


Situasi rakyat Malaysia yang kelihatan tenang menghadapi karenah peminat Indonesia menunjukkan betapa kita merupakan rakyat yang bersikap positif. Dunia dapat mengukur betapa peminat sukan di Malaysia merupakan peminat yang menggunakan otak tanpa dikawal oleh orang lain. Syabas skuad Malaysia di bawah bimbingan Rajagobal kerana menamatkan kemarau 14 tahun menjulang piala AFF SUZUKI 2010.


Apa yang dapat saya simpulkan betapa rakyat seberang dikawal sepenuhnya minda mereka oleh media-media yang menyemai perasaan benci akan Malaysia bukan menggunakan masalah laser itu sahaja. Bagi saya, saya mengerti bukan semua rakyat Indonesia berfikir sedemikian tetapi ingatlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sebenarnya, banyak pertelingkahan kita yang mewujudkan dendam dalam kalangan rakyat Indonesia (saya tidak selidiki tetapi cuma tahu sahaja) dan pertembungan MALAYSIA-INDONESIA mungkin diambil kesempatan bagi menghangatkan lagi hubungan dua negara oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Malaysia terus positif dalam memajukan sukan negara dan tidak sesekali akan mengeluarkan idea yang tidak munasabah akan kekalahan sendiri. Malaysia BOLEH!!! Syabas pasukan Malaysia, tahniah3x Harimau Malaya Tanah Tumpahnya Darahku…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...