BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Bila ada yang suka kita waktu susah berbanding waktu senang kita…

Sunday, December 12, 2010


Salam kepada semua pembaca blog sekalian. Bersua lagi kita dalam siri penulisan yang mengajak kita kembali berfikir asas hidup kita ini. Ini hanya sekadar lontaran pendapat seorang manusia, masih boleh dipersetujui tak kurang juga diberi pendapat akan pembaikan yang boleh dilakukan. Ramai yang mengeluh tatkala waktu susah datang bertandang. Waktu susah yang saya maksudkan di sini adalah waktu yang melibatkan kita berasa kesempitan ketika berada dalam tempoh waktunya seperti kesedihan dan sebagainya. Saya percaya semua sudah dan akan mengalami perkara ini.

Kita mungkin tidak terpandang akan sejuta rahmat yang ditaburkan oleh Pencipta terhadap setiap satu perkara yang ditimpakan ke atas pundak kita khususnya waktu susah. Adakah kita tidak menemukan hikmah kesulitan waktu yang kita alami itu atau kita berusaha mencari seribu alasan untuk tidak kita selidiki hikmah itu? Jawapan itu sudah berada pada diri anda semua. Seperti yang telah banyak saya perkatakan sebelum ini, Allah hanya menguji sesuatu yang termampu untuk kita jalaninya. Jangan bertindak seperti orang yang tidak diberikan akal apabila bertindak memaki dan mencemuh Tuhan di atas kesusahan yang kita alami itu.

Perspektif yang ingin saya kongsikan bersama pembaca blog sekalian dalam konteks ini  adalah bagaimana waktu susah itu sebenarnya dapat menjadikan kita insan yang lebih baik berbanding sebelum kita ditimpakan musibah. Sebagai contoh, orang kaya ditimpa kesusahan. Beliau dengan sekelip mata dapat memikirkan bahawa kekayaan beliau selama ini bukan sekadar terletak pada usaha yang dijanakan tetapi masih berada pada takluk kuasa Yang Maha Esa. Orang kaya ini yang dahulunya takbur kepada Allah oleh kerana sikapnya di atas dapat bertaubat dengan cara pemikiran sekalian. Bukan sekadar worldview nya yang berubah tetapi turut berubah sekali adalah sikapnya yang berhijrah daripada seorang yang sombong dan tidak menghiraukan orang sekelilingnya berubah kepada orang yang menyayangi insan lain dan mengetahui bahawa manusia ini sama tarafnya yang membezakan setiap individu ialah tingkat iman mereka.

Contoh yang mudah dalam kalangan kita pelajar universiti adalah musibah yang ditimpakan terhadap seorang cerdik yang sombong. Jika sebelum dia menerima waktu susah, dia sukar bergaul dengan orang yang memerlukan bantuannya iaitu orang yang agak lambat menerima pemahaman ilmu ketika menerima pembelajaran langsung di kuliah tetapi tidak lagi apabila ujian mengujinya. Biasalah manusia sudah terngantuk baru terngadah. Bila sudah diuji dengan rintangan seperti tidak memperoleh kejayaan seperti sebelumnya baru kita mahu memikir bahawa ilmu itu makin dikongsi makin bertambah. Lumrah manusia sebenarnya bila susah mahu ingat Dia. Biarlah bagaimana metode penyelesaian sekalipun, bagi saya sindiran Allah (seperti kes-kesdi atas) jualah metode yang paling efektif.

 Apa yang dapat saya rumuskan hasil daripada idea yang saya kongsikan di atas ialah berjuta sebenarnya hikmah dalam kita menghadapi setiap satu waktu susah kita. Salah satu pendapat dan hikmah yang saya selongkari adalah waktu susah sebenarnya dapat mengubah kita daripada tidak baik kepada baik. Harap anda semua faham dengan tajuk saya dia atas ‘Bila ada yang suka kita waktu susah berbanding waktu senang kita…’. Moga dengan tulisan saya ini, saya dapat mengajak pembaca blog sekalian berfikir dengan sedalamnya sebelum mengambil keputusan yang boleh merubah kita masa kini dan kelak. Baiklah, semoga kita berjumpa lagi dalam siri penulisan yang akan datang. Salam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...