BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Usahawan : Datuk Hajjah Siti Nurhaliza Tarudin

Tuesday, March 13, 2012

Entri saya pada kali ini merupakan sebahagian daripada tugasan Keusahawan saya. Tugasan pada kali ini meminta kami memilih seorang usahawan dan menceritakan latar belakangnya dan saya telah memilih Siti Nurhaliza sebagai usahawan yang ingin saya ceritakan kejayaan. Diharapkan entri kali ini dapat menceritakan kejayaan Datuk Siti dalam bidang keusahawanan...


Usahawan yang telah saya pilih ialah Datuk Hajjah Siti Nurhaliza, seorang penyanyi yang berprolifik dan juga ikon dalam bidang keusahawanan. 16 tahun beliau berkecimpung dalam industri seni suara telah cukup meletakkan beliau sebagai sebuah jenama yang cukup gah. Lahir pada 30 Oktober 1979 di Kuala Lipis, kerjaya seni beliau bermula pada tahun 1991 apabila beliau menjuarai sebuah program hiburan terbitan televisyen kerajaan. Bermula pada tanggal dan detik itu beliau telah berjaya mengumpul sekelompok besar peminatnya. Beliau juga berjaya mencipta kejayaan demi kejayaan dalam dan luar negara.

Pemegang Malaysia’s Book of Record sebagai artis Malaysia yang paling banyak menerima anugerah ini mula menunjukkan minat dalam bidang keusahawanan apabila menubuhkan Siti Nurhaliza Production pada tanggal 2 Jun 1998 yang mana syarikat ini ditubuhkan bagi melancarkan perjalanan kariernya. Untuk pengetahun bersama, syarikat ini diselia dan ditadbir urus oleh ahli keluarga Datuk Siti sendiri. Seperti usahawan-usahawan lain yang sentiasa mahu kehadapan begitu juga halnya bagi Siti Nurhaliza, beliau turut juga mencipta jenama sendiri melalui rangkaian teh yang diberi nama C-Tea. Teh C-Tea menggunakan teh yang dipetik daripada Semenanjung Malaysia, Sabah. Menggunakan pendekatan teh yang bebas daripada penggunaan kimia dilihat mudah mendapat kepercayaan daripada pengguna-pengguna di Malaysia apatah lagi peminatnya.

Impak daripada usaha Datuk Siti Nurhaliza dalam usahanya memajukan diri dalam bidang keusahawanan telah mendapat pengiktirafan Anugerah Tokoh Karyawan Usahawan Muda 2005 oleh Pusat Pengajian Pengurusan (PPP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Akademi Pengurusan Asia. Anugerah itu diberikan bertujuan memberi pengiktirafan kepada karyawan hiburan yang berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Malam Gala Alumni PPP, Prof Madya Dr Yuserrie Zainuddin berkata, penubuhan Siti Nurhaliza Production (SNP), idea bernas memanifestasi fungsinya dalam industri hiburan untuk menguruskan persembahannya dengan teratur serta profesional. Beliau turut berpendapat tidak keterlaluan jika dikatakan Siti Nurhaliza menjenamakan dirinya melalui pengedaran produk teh yang memberi impak besar dalam memastikan namanya dikaitkan apabila seseorang menikmati minuman tertentu.

Entah apa silapnya langkah Datuk Siti Nurhaliza dalam bidang perniagaan teh sehinggakan perniagaan itu menemui titik noktahnya. Kegagalan C-Tea sedikit sebanyak memberikan persepsi yang sedikit rendah terhadap kebolehan penyanyi no. 1 negara ini dalam bidang perniagaan. Tetapi syarikatnya tetap kukuh dan utuh sehingga ke hari ini dan semakin rancak menunggang karier Siti Nurhaliza ke suatu tahap yang maksima. Kemuncak karier beliau, beliau sudah menerima banyak penganugerahan seperti mana yang telah dinyatakan dan sinonim dengan beliau yang merupakan seorang selebriti yang memerlukan beliau tampil menarik di hadapan khalayak menyebabkan terlahirnya satu lagi produk keusahawanan beliau kali ini dalam bidang kosmetik.


Momen yang terlakar pada tarikh 30 Mac 2010 di lokasi Hotel Mandarin Oriental merupakan satu tarikh yang bakal diingati beliau dan mungkin sahaja menentukan untung nasib empayar kariernya. Simplysiti merupakan produk kosmetik beliau yang mengangkat motto penjenamaan, “Rahsiaku kini milikmu…”. Apa yang melainkan produk beliau dengan produk di pasaran pada hari ini adalah teknologi nano dalam bahan dan pembuatannya. Produk kosmetik ini memperkenalkan rangkaian kosmetik seperti gincu bibir, bedak asas, pembayang mata dan juga variasi penjagaan wajah seperti Krim Simply5. Pada awal kemunculan produk ini, Datuk Siti Nurhaliza telah memperkenalkan 2 produk utamanya iaitu Krim Simply5 dan Simply Gorgeous Lip yang mana nama-nama gincu ini diambil bersempena 20 lagu popular beliau seperti Aku Cinta Padamu, Kau Kekasihku dan sebagainya.

Dengan kemunculan produk kosmetik ini di persada tanah air dan beberapa negara berdekatan akan datang seperti Singapura, Indonesia dan Brunei telah memperlihatkan pengukuhan Datuk Siti Nurhaliza dalam bidang keusahawanan. Variasi produk yang dipersembahkan Datuk Siti Nurhaliza dalam bidang keusahawan dan seni suara telah menampakkan sisi baru Datuk Siti Nurhaliza dalam usaha ingin sentiasa berada di hadapan untuk memajukan diri sendiri. Memang usahawan seperti beliau harus dicontohi kerana beliau bukan terus berjaya dalam produk kosmetik pada hari ini tetapi telah mengalami saat jatuh bangun dalam bidang keusahawanan ini, norma seorang usahawan yang berjaya. Beliau sememangnya layak digelar sebagai ikon dalam bidang keusahawan dan tidak dapat dielakkan lagi sebagai ikon dalam bidang seni.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...